Tuesday, August 25, 2009

10/7/2009 HINGGA 25/8/2009 ( 46 HARI DALAM PENANTIAN )

46 HARI BERLALU : APA KEPUTUSAN ADUAN SAYA ?
Wahai rakyat Malaysia yang dikasihi, saya ada cerita menarik untuk kita kongsi bersama. Yang baik, kita jadikan pedoman. Yang jelek, kita jadikan sempadan.
Pada 10 Julai 2009, saya telah membuat aduan bahawa anak saya ditumbuk guru. Anak yang mana ? Anak sulung saya, Ahmad Ariff, seorang murid autistik di kelas pendidikan khas. Beliau termasuk dalam kategori Orang Kurang Upaya (OKU). Telah pun didaftarkan di Jabatan kebajikan Masyarakat Malaysia.
Anak saya mengadu dilempang dan ditumbuk sehingga cedera berdarah. Saya ada laporan doktor mengatakan terdapat kecederaan. Selain cedera, anak saya juga mengalami trauma akibat kejadian itu. Dia enggan ke sekolah lagi. Sekarang, anak saya di bawah rawatan pakar jiwa untuk rawatan trauma.
Jelas ? Saya harap jelas. Saya teruskan lagi.
Saya telah membuat aduan rasmi kepada pihak polis, sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).
Pihak polis telah selesai menjalankan siasatan. Sekarang mereka sedang menunggu keputusan pendakwaraya. Terima kasih kepada semua anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Jelebu yang bertindak pantas dan memanggil kami untuk memaklumkan hasil siasatan. Kami rasa berbesar hati dan puas hati kerana hasil siasatan dilaporkan kepada kami sejelas-jelasnya.
PPD juga telah menjalankan siasatan tetapi belum selesai. Saya menghubungi pegawai yang menyiasat kes ini, hari ini. Beliau menerangkan kepada saya bahawa beliau masih dalam proses menyiasat kerana kekangan tugas-tugas lain. Ada banyak tuntutan kerja yang memerlukan komitmen beliau termasuk hal ehwal 48 000 orang murid di kawasan Jempol Jelebu. Saya juga cukup tertarik dengan satu kenyataan beliau bahawa beliau masih belum berjaya menemui guru besar sekolah anak saya. Kejarlah dia tuan, kalau tidak, sampai bila pun siasatan tuan tak selesai. Perlu saya tolong kejarkan ?
JPN juga telah menjalankan siasatan. Hasil laporan telah dihantar ke Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia di Putrajaya. Mati hidup balik pun, saya tidak tahu bahawa laporan telah dihantar ke sana kerana saya tidak menerima apa-apa maklum balas dari pihak JPN. Di sini, saya membuat perbandingan : Kalau Polis Jelebu boleh panggil saya untuk memaklumkan hasil siasatan, mengapa JPN tidak berbuat demikian ? Siapa lebih profesional ?
Kenapa dan mengapa JPN tidak memaklumkan hasil siasatan kepada saya sedangkan saya ada menghantar surat aduan rasmi kepada Pengarah JPN ? Ada tak Tuan pengarah terima surat saya ?
Kementerian ? Saya tidak tahu KPM menjalankan siasatan sendiri atau menunggu hasil siasatan PPD dan JPN ? Sumpah, saya tak tahu. Mungkin mereka datang diam-diam. Mungkin juga mereka balik diam-diam. Kemudian mereka buat analisis dan sintesis diam-diam. Manalah saya tahu. Yang saya tahu, saya tidak menerima sebarang maklum balas dari KPM sehinggalah semalam apabila saya ke Putrajaya.
Baru semalam saya tahu bahawa mereka ada menerima laporan siasatan dari JPN. Saya telah dimaklumkan tentang hasil siasatan. Saya sedih. Polis Jelebu boleh ambil inisiatif panggil saya untuk terangkan hasil siasatan tapi KPM tak panggil pun. Saya datang sendiri tanpa jemputan. Nasib baik kedatangan diterima dengan tangan terbuka. Terima kasih.
Tapi laporan yang JPN hantar pada KPM adalah laporan palsu. Bohong. Tipu.
CIKGU YANG MENUMBUK ANAK SAYA
DILAPORKAN TIDAK BERADA DI SEKOLAH
PADA HARI KEJADIAN.
BELIAU BERTUGAS DI LUAR KAWASAN.
( Saya harap, mereka tidak akan ubahsuai laporan itu untuk menafikan pendedahan saya)
Wahai rakyat Malaysia yang dikasihi, inilah antara kes-kes pembohongan yang besar dalam sejarah Malaysia. Macamana sebuah organisasi kerajaan yang besar di peringkat negeri boleh menghantar laporan bohong begini ? Bagaimana sebuah Jabatan Pelajaran Negeri boleh menghantar laporan kong kali kong macam ini ? Mana kredibiliti dan integriti organisasi ini ? Mana ?
HAKIKATNYA , PADA HARI KEJADIAN, CIKGU ITU MEMANG BERADA DI SEKOLAH.
Mana saksi ? Mana bukti ? Semua warga sekolah nampak dia berada di sekolah. Tapi tak tahu pula, kalau lepas ini, semua pakat-pakat kata tidak nampak dia. Kalau bulan bisa ngomong, dia takkan mampu berbohong. Kalau Bukit Tangga mampu berbicara, dia akan bercerita. kalau Jeram Toi mampu berkata-kata, dia takkan kata BIARLAH RAHSIA.
Kenapa perlu memutar-belitkan fakta ? Apa yang nak disembunyikan ? Kalau tidak bersalah, tidak perlu berdolak-dalik. Kalau sampai menipu macam ini, apa maknanya ? Saya rasa murid 'slow learner' pun boleh jawab. Kalau murid 'slow learner' boleh jawab, takkan PPD, JPN dan KPM tidak boleh jawab. Kalau memang mereka tidak boleh jawab, saya rasa ada baiknya saya bagi mereka borang masuk kelas pendidikan khas juga. Kelas pemulihan khas sesuai juga rasanya.
Tolonglah, sudah terang lagi bersuluh. Apa yang kita sayang ? Seorang guru yang pecah amanah atau seorang murid OKU yang pecah darah ? Saya harap KPM akan turun dan siasat hal ini sekali lagi atau beberapa kali lagi sehingga kebenaran terbukti. Kalau mereka terus nak tipu-tipu , tolonglah nasihat sikit. Kalau mereka pusing-pusing cakap, nasihatkanlah lagi. Tapi kalau mereka tegar setegar-tegarnya,
beritahu mereka, saya ada bukti dan dalam proses terus mengumpul bukti dari laporan-laporan pakar yang berautoriti. Nak bohong apa lagi ?
Apabila KPM turun, jangan tanya cikgu, cikgu tidak akan mengaku. Jangan tanya Pembantu Pengurusan Murid (PPM), mereka nak jaga periuk nasi. Jangan tanya murid-murid, mereka tidak berani cerita sebab nanti nak sekolah di mana. Jangan tanya pengurusan sekolah, sebab mereka percaya cikgu. Habis nak tanya siapa ? Jangan tanya saya sebab saya kehilangan kata-kata melihat kekejaman manusia.
Manusia ke dia ?
Kita nak tunggu ada budak OKU mati kena belasah, baru semua orang nak percaya cakap saya ? Baru orang atas nak turun tunjuk muka ? Baru pendidikan khas nampak kebenaran depan mata ? Baru nampak : siapa teraniaya, siapa cikgu tak berguna ?
Saya dijanjikan siasatan yang adil dan tidak berpihak. Ke kiri tidak. Ke kanan pun tidak. Kalau cikgu itu bersalah, mereka akan ambil tindakan. Kalau saya benar, saya akan dapat keadilan. Sila buktikan. Biarlah seluruh warga Malaysia menjadi saksi ketelusan PPD, JPN dan KPM. Mohon Menteri Pelajaran tolong perhati-perhatikan. Terima kasih.

6 comments:

  1. Assalamualaikum puan,

    Saya terkejut dengan pendedahan puan. Saya tak pernah terfikir perkara begini pun boleh berlaku. Lebih-lebih lagi bila puan nyatakan adalah suatu yg biasa mereka didera.

    Puan seorang yg tabah. Saya doakan puan akan mnemui keadilan. Allah bersama-sama dengan org yg teraniaya. Sebenarnya saya bakal guru pendidikan khas. Tgh mencari bahan untuk tugasan terjumpa blog puan. Mudah2an akan jd iktibar. Saya akan pesankan pada rakan-rakan yg lain pesanan yang telah diamanahkan oleh pensyarah kami. Bekerjalah dengn ikhlas, kasihilah pelajar, kerana disitu ada keberkatan.

    ReplyDelete
  2. salam. banyakkan bersabar and jgn terlampau ikut perasaan. mungkin da bosan dgr ayat kat atas. tp itu adalah jalan penyelesaian paling berkesan dalam hidup. selami bidang eq and sp maybe boleh membantu pengurusan puan. saya pasti dugaan puan mmg berat, tapi percayalah puan adalah seorang yang hebat kerana terus menjaga anak puan degan baik tanpa putus asa. mengenai guru yang terlibat, saya kurang pasti keadaan yang sebenarnya yang berlaku, saya cadangkan puan boleh pindahkan anak puan dari terus trauma di sekolah tersebut.teruskan berdoa dan bertawwakal.(keajaiban itu pelik tapi bukan mustahil.)

    ReplyDelete
  3. Salam..akak, saya amat memahami perasaan akak..saya juga ada seorang anak yang mengidap autism..kanak-kanak autism ni tak mungkin akan bercakap bohong..sabar lah kak, sesungguhnya perkara yang tidak baik itu pasti akan mendapat hukuman kelak..mungkin tidak dari manusia tapi Allah Maha Mengetahui segalanya..

    ReplyDelete
  4. Sy cuma nak bkongsi,seorang doktor tidak akan meratapi apabila melihat kematian org lain kerana dia sudah lali dengan situasi seperti itu....
    sama keadaannya dgn guru2 pendidikan khas yg sudah lali melayan kerenah anak OKU...tidak ada belas bg mereka kerana mereka dh terlalu biasa. Perasaan mereka tidak sama dgn perasaan ibu yg memiliki anak seperti itu....
    Jika sy ditempat anda, sy akan menghadiri mana2 kursus yg berkaitan dgn autisme dan sy akan mjaga anak istimewa ini. Kita tidak mampu meminta orang lain memahami apa yg kita rasa lebih2 lg memohon simpati.
    Berhenti merintih tetapi fikirkan sesuatu unt masa depan Arif...
    Wbmanapun, sy yakin dan tahu anda seorg ibu yg baik dan sy melihat anda jg tidak bhenti berusaha unt kebaikan anak anda....
    Yakinlah, lbih byk ketidak adilan berlaku di luar sana dan kita tidak mampu memberhentikannya. Uruskan diri kita sendiri kerana proses menguruskan diri jauh lbih memberi kesan drp kita meminta org lain faham situasi ini....
    akhir kata...Allah itu ada. Doa orang teraniaya insyaallah akan dimakbulkan.

    ReplyDelete
  5. salam.

    Apa yang menimpa Ariff adalah lebih hebat dari yang dialami oleh anak saya Hariz, juga anak autistik. Mungkin boleh menjadi mangsa seperti Ariff sekiranya saya tidak berbuat apa-apa dari awal.

    JANGAN DOK DIAM DALAM PERKARA BEGINI, TAPI HARUS KREATIF DAN BIJAK MENYUSUN STRATEGI.

    Tabahkan hati, kuatkan semangat.

    ReplyDelete
  6. Puan, saya amat memahami situasi puan, kerana sy juga menghadapi situasi yg sama...cakap byk pun x guna...kita ni mcm anjing menyalak bukit. Saya juga spt puan untuk menegakkan kebenaran saya bersuara, anak saya dilastik di sekolah oleh PPM, tapi siapa yg nk percaya kan saksinya anak OKU & yg dilastik pun anak OKU memanglah mereka berani.
    Hebat kan mereka, tunjuk hebat dgn seorang anak OKU. Tapi mereka perlu ingat Allah Maha Adil, pasti satu hari nnt ada balasan utk mereka. Tak mengapa, kita dh cukup kuat menghadapi dugaan, kita dh jadi insan yg cukup tabah, tunggulah Allah akan makbulkan doa orang yg teraniaya. Kita tgklh pula nnt sekuat mana mrk menghadapi dugaan tersebut.

    ReplyDelete