Friday, August 7, 2009

INFORMASI DARI HATI KE HATI MENCIPTA PENGERTIAN ABADI


Memahami anak-anak autistik

Apabila seseorang bayi dilahirkan, ibu bapa menaruh harapan untuk menjaga dan menyayangi darah dagingnya dengan sempurna. Pada masa yang sama, mereka berharap anak dapat membalas jasa mereka.
Namun, malangnya dalam setiap 10,000 bayi yang lahir, empat daripada mereka berkemungkinan menghidap kecelaruan autistik.
Autisme ialah sejenis kecelaruan. Pada tahun 2000, kadar autisme adalah 2 hingga 20 orang dalam setiap 10,000 manusia.
Terdapat kanak-kanak yang menghadapi isolasi yang serius sejak peringkat bayi. Mereka mengasingkan diri daripada pergaulan, pertembungan mata dan amat sukar untuk berinteraksi serta melahirkan perasaan hatinya.

Kini, para penyelidik mendapati bahawa kecelaruan ini berlaku seumur hidup dan memerlukan ketabahan yang tinggi khususnya daripada ibu bapa untuk membantu anaknya.
Terdapat ciri-ciri umum untuk kecelaruan autistik.
Antaranya adalah ketidakupayaan dalam komunikasi.
Kanak-kanak autistik menghadapi masalah untuk berkomunikasi, menjalin hubungan sosial dan berfikir secara kreatif.
Mereka hidup dalam dunia sendiri.
Pada peringkat awal kanak-kanak, mereka akan mengasingkan diri serta menunjukkan reaksi yang agresif ketika dipegang, disentuh dan dipeluk. Mereka tidak suka senyum dan bertentang mata ketika berkomunikasi.
Jika sakit, luka atau duka, anak autistik tidak akan meluahkan masalah untuk mengurangkan ketidakselesaan. Ini bererti jarang adanya ekspresi perasaan muka dalam pertuturan.
Mereka suka berseorangan, tidak suka menjalinkan hubungan dengan orang lain dan hidup dalam dunianya sendiri.
Hampir 50 peratus daripada anak autistik tidak dapat menguasai teknik pertuturan. Anak-anak ini mempunyai suatu corak komunikasi yang digelar 'echolalia', iaitu mengulangi perkataan orang lain.
Walaupun ada segelintir anak autistik yang dapat bertutur, namun mereka tetap menghadapi masalah berinteraksi dengan sekeliling secara berkesan.
Kebanyakan tanda anak autistik dapat dikesan sebelum usia mereka mencecah 3 tahun.

Punca berlakunya kecelaruan autistik boleh ditinjau daripada perspektif psikologikal, sosial dan biologikal. Autisme merupakan suatu kecelaruan yang masih memerlukan banyak penerokaan.
Autisme bukan berpunca daripada suatu faktor sahaja tetapi kombinasi faktor biologikal dan psikososial untuk melahirkan tingkah laku yang luar biasa.
Pada peringkat permulaan, Kanner (1943) mengatakan autisme berpunca daripada faktor biologikal.

Bettelheim pula percaya bahawa tingkah laku anak autistik sama seperti askar Jerman yang masih hidup di kem ketika Perang Dunia Kedua. Kumpulan askar ini menunjukkan ciri-ciri autistik seperti tidak prihatin, mengasingkan diri dan juga kelihatan murung.
Pembaca pasti dapat membayang betapa pedihnya hati ibu bapa yang memarahi dirinya dan menyalahkan diri sendiri di atas kelahiran anak sedemikian.
Dari perspektif lain, pada tahun 1975, Cox dan pakar psikologi yang lain telah menjalankan penyelidikan ke atas ibu bapa anak autistik.
Mereka mendapati ibu bapa ini bersifat mesra, suka bergaul dan berintraksi. Walaupun memiliki anak-anak autistik, mereka juga melahirkan anak-anak lain yang normal.

Jones dan Szatmari (1988), mengatakan bahawa ramai ibu tidak mahu mengandung selepas melahirkan anak autistik kerana bimbang akan risiko mendapat anak yang menghidap kecelaruan tersebut lagi.
Kajian autistik merupakan suatu bidang yang baru dan masih memerlukan suatu kombinasi teori yang lebih lengkap.
Kebanyakan anak autistik tidak dapat menjaga dirinya dengan sempurna. Mereka terpaksa berada di rumah bersama ahli keluarganya. Sebagai ibu bapa, mereka tidak seharusnya berputus asa.
Anak merupakan kurniaan Tuhan. Anak-anak autistik yang malang ini seharusnya menerima limpahan kasih sayang dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada ahli keluarganya.
Pendekatan tingkah laku didapati paling berkesan dalam membantu penguasaan pembelajaran anak autistik.
Apabila dewasa, anak autistik harus digalakkan mengambil bahagian dalam intervensi yang melibatkan komuniti. Ibu bapa anak autistik harus menerima sokongan moral daripada ahli-ahli keluarga dan masyarakat kerana mereka menghadapi tekanan yang tinggi.
Komuniti juga harus bersimpati dan prihatin terhadap anak autistik, menghulurkan bantuan dan sokongan moral supaya mereka dapat menjalani kehidupan seperti orang biasa.
Kepada ibu bapa, jangan sekali-kali berputus asa jika mempunyai anak autistik.
Oleh Dr. Tam Cai Lian (Pensyarah di Jabatan Psikologi, Fakulti Kesihatan dan Kesihatan Semulajadi Kolej Universiti Sunway)

No comments:

Post a Comment